Sebut saja bunga pasti ramai tersenyum mengenangkan keharuman dan kecantikannya yang mampu menyejukkan mata-mata yang memandang sama ada perempuan atau lelaki, tua atau muda. Bunga tetap menjadi pilihan utama sebagai penyeri majlis dan persekitaran kotaraya. Menceriakan suasana dengan kelopaknya yang merekah, menyemarakkan alam dengan keharumannya.
Kita sedar atau tidak, bunga juga dijadikan simbol kasih sayang. Bunga menjadi saksi ungkapan kasih, bahkan sebagai lambang ketulusan hati. Dalam persahabatan, sahabat itu bagaikan bunga yang menceriakan kehidupan kita. Persahabatan meninggalkan makna yang cukup mendalam. Jika kita bertanya kepada 10 orang berlainan mengenai persahabatan, sudah tentu 10 jawapan yang berbeza akan diperolehi.
Ada yang mengatakan persahabatan itu adalah jalinan hati antara dua insan yang saling mengasihi. Tak kurang juga mengatakan persahabatan terbit apabila seseorang itu berjaya mengharungi suka-duka bersama. Walau apapun tafsiran kita, tujuannya tetap sama iaitu semua kita memerlukan sahabat. Kita ibarat musafir yang menempuh perjalanan jauh dan gersang dan sudah tentulah amat memerlukan teman apabila kesunyian.
Hari ini, ramai yang berjaya menjadi rakan yang baik dan cukup memahami, namun amat sedikit yang berjaya menjadi sahabat sejati. Sahabat sejati dapat dinilai apabila dia setia bersama-sama kita menghadapi saat jatuh dan bangun, membantu menangani cabaran dan permasalahan serta tabah menghadapi kesusahan hidup bersama. Pada saat kita di bawah dia sebagai pendorong, pada saat kita di atas dia sebagai penyokong. Namun begitu, sahabat yang benar-benar ikhlas dan jujur amat sukar ditemui. Umpama mencari mutiara di dasar lautan, perlu diproses sebaik mungkin agar muncul sebuah mutiara yang berkualiti.
Jadi apakah teras kepada ikatan persahabatan yang sejati itu ? jawapnya ialah saling berkasih sayang kerana Allah SWT. Hanya dengan asas ini ikatan persahabatan yang terbina akan kukuh dan tersergam indah. Tidak seorangpun yang akan mengakui hidupnya gembira tanpa sahabat. Sahabat ibarat pohon rimbun sebagai tempat berteduh di waktu panas. Tanpa sahabat, pastinya hari-hari yang kita lalui terasa suram dan kurang bermaya. Segalanya terasa tawar dan hambar bagaikan memakan nasi tanpa lauk.
Marilah kita renungi sabda Rasulullah, “ Bersahabatlah dengan orang yang keadaannya sentiasa membangkitkanmu dan kata-katanya banyak menyedarkanmu ke jalan Allah.”
Peranan sahabat itu akan bertambah penting apabila berada dalam satu medan perjuangan. Adakalanya kita tersungkur dek tersepak akar banir dan batu kerikil yang merentangi jalan perjuangan kita. Lalu kita tercalar dan terluka. Cedera yang tiada penawarnya, maka di sinilah pentingnya peranan sahabat yang memahami arus perjuangan ini terus meniupkan semangat dan memimpin kita bangun untuk kembali ke landasan sebenar.
Bagaimanakah sahabat sejati dapat dibentuk? Tidak ada jalan lain kecuali kembali mengikuti cara didikan Rasulullah SAW. Rasulullah telah meninggalkan kepada kita dua warisan yang cukup berharga iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Nabi SAW memberi jaminan keselamatan dan kejayaan jika umatini terus berpegang dengan kedua warisan ini. Tidak akan sesat atau berada dalam kehinaan untuk selama-lamanya.
Ketahuilah bahawa seandainya harga sebuah persahabatan itu dapat dibayar dengan wang ringgit, sudah pasti ramai yang merasai kemanisan dan keindahannya. Namun, hakikat ini hanya dapat dinikmati oleh mereka yang bertuah, yakni mendapat hidayah Allah SWT.
Hari ini susah nak cari persahabatan yang dibina di atas dasar iman dan taqwa. Bukan tak ada, tetapi dan terlalu sedikit. Orang bersahabat selalunya mahukan sesuatu dari sahabatnya, dan mengharap imbuhan kebendaan dari kenalan atau kawannya suatu hari nanti. Kerana itulah, orang yang miskin dan tidak mempunyai jawatan biasanya tidak ramai kawan pada hari ini, sebab orang lain tidak boleh mengharap apa-apa daripadanya. Sistem hidup hari ini mengajar manusia supaya bergerak di atas dorongan kebendaan dan habuan duniawi, dan lama kelamaan masyarakat makin rosak dan tidak menentu. Allah tak turunkan keberkatanNya kepada masyarakat yang begini.
Oleh itu, kita haruslah mulakan segalanya dari diri kita dulu. Kita berusaha menjadikan diri kita sahabat sejati dan berusaha membina persahabatan berlandaskan cinta dan kasih sayang Allah. Sebarang percanggahan idea dan pendapat perlulah ditolak ke tepi. Utamakan kasih sayang adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Hargainya selagi ia masih ada!.