__AHLan WAsaHLan__

Monday, July 29, 2013

Reunion dan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim..

Alahmdulillah..masih diberi kesempatan oleh Allah untuk terus bernafas di bumiNya. Segulung tahniah dan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menghadirkan diri. Walaupun agak terbatas masa dan waktu, namun dengan izin Allah, kita sama-sama boleh hadir ke majlis berbuaka puasa reunion PALAPES UTM Batch 19. Walaupun tak semua yang datang, namun kehadiran sahabat-sahabat yang ada sudah cukup untuk melepaskan kerinduan masing-masing. Pastinya, banyak benda yang telah dikongsi bersama termasuklah perkongsian kenangan zaman kadet di Palapes.

Melihat kepada diri sahabat masing-masing, Alhamdulillah..sudah ramai yang kembali kepada fitrah. Fitrah yang meletakkan redha Allah sebagai perkara utama dalam hidup.Aku sangat senang dengan mereka.

Percayalah, ukhwah dibina yang didasari dengan redha dan taqwa Allah, tidak akan pernah suram walaupun sesaat.


"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." (Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-kabir dan al-Ausat, Ahmad,)

"Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku (Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku (Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)" (Riwayat Ahmad)









Jazakumullahu khairan kathira

InsyaAllah. We'll meet again soon.
Tahniah sahabat-sahabat yang akan menukar status..Aku bila??hehe

~~Wassalam~~





Monday, July 22, 2013

Noktah Hidup


Seringkali ku berfikir
Bukan senang untuk menambah kekuatan hidup
Tika diri ini masih lagi fakir sehinggakan mudah tertewas
Namun itu bukan alasan untuk terus mencari sumber kekuatan..
Kekuatan yang mampu untuk menghadirkan perasaan kasih dan sayang padaMu Ya Rabb
Kekuatan yang mempu untuk menghadirkan perasaaan cinta dan rindu padamu Ya Rasulullah
Kerana inilah kekuatan yang boleh menentukan noktah hidupku berakhir dengan sempurna

Aku sering mengharapkan bahawa aku mampu untuk bertahan di jalan ini
Walupun kadang-kadang kekhilafan seringkali  datang tanpa diundang
Aku akan berusaha dan terus berusaha
untuk menjadi seorang pencinta dan perindu padaMu

AllahuRabbi....



Pertengahannya Maghfirah...

Alhamdulillah dengan rahmat dan izinNya kita sudah berada dipertengahan Ramadhan yang mulia. Ketika ini ramai yang mengingatkan tentang sopotong Hadis yang bermaksud: "Ramadhan adalah satu bulan, awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya bebas dari api neraka."

Berdasarkan Hadis itu, maka bulan yang mulia dibahagikan kepada tiga fasa: Rahmah, Maghfirah dan 'Itqun minan-Nar (bebas dari api neraka).

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam sahihnya no 1887 daripada Salman r.a., dan dia berkata sekiranya sahih. Juga diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Syi'ab al-Iman, no 3608.

Menurut ahli Hadis, di dalam sanad (senarai periwayat) Hadis ini terdapat Ali bin Zaid bin Jad'an. Di dalam kitab al-Kasysyaf menyebut bahawa beliau salah seorang hafiz yang tidak mantap. Ad-Dar Qutni berkata: "Aku masih menganggap dia seorang yang tidak kuat." Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Zar'ah berkata bahawa Ali bin Zaid bin Jad'an ini tidak kuat. Yahya bin Ma'een pula berkata: "Dia tidak boleh menjadi hujjah."

Shaikh al-Albani meletakkan Hadis ini di dalam senarai Hadis-hadis dha'eef no 871 dan dia berkata, Hadis ini munkar.

Hadis yang mengandungi maksud yang sama diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunya, al-Khatib dan Ibn 'Asakir daripada Abu Hurairah r.a.

Jalur ini juga dikategorikan sebagai dha'eef oleh  Shaikh al-Albani di dalam Dha'eef al-Jami', no 2135 dan di dalam Silsilah Dha'eef no 1569.

Haruskah berpegang dengan Hadis-hadis dha'eef?

Sebahagian ulamak meletakkan beberapa syarat untuk beramal dengan Hadis Dha'eef:
Pertama: ia berkaitan dengan fadhilat-fadhilat amal
Kedua: amal itu termasuk di bawah asal yang diamalkan dengannya
Ketiga: Hadis itu tidak terlalu dha'eef
Keempat: tidak beri'tiqad bahawa ia thabit daripada Rasulullah s.a.w., sebaliknya beri'tiqad sebagai suatu langkah mencari peluang sahaja.

Dalam konteks ini, Shaikhul-Islam Ibn Taimiyyah menulis di dalam kitabnya Al-Fatawa:
Apa yang dikatakan oleh ulamak tentang keharusan beramal dengan Hadis Dha'eef bukan bermakna mengithbatkan sunat sesuatu amal dengan Hadis yang tidak boleh dibuat hujjah. Sesungguhnya sunat itu adalah hukum Syara'. Ia tidak thabit kecuali dengan adanya dalil Syara'.  Sesiapa yang mengkhabarkan daripada Allah bahawa Dia telah mewajibkan sesuatu amal tanpa dalil yang syar'iy, maka dia telah mensyari'atkan agama (menetapkan hukum agama) dengan cara yang tidak diizinkan Allah kepadanya. Samalah kalau menetapkan wajib, haram dan sebagainya.

Yang mereka maksudkan harus itu ialah beramal dengan sesuatu yang telah thabit bahawa amal itu disukai Allah atau tidak disukai berdasarkan nas al-Quran dan Hadis atau Ijmak, seperti tilawah al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, memerdekakan hamba, berbuat baik kepada manusia, bencikan dusta, khianat dan seterusnya.

Maka apabila diriwayatkan Hadis tentang kelebihan amal-amal yang sunat dan ganjarannya, atau makruh sesuatu amal serta balasannya, jika diriwayatkan sesuatu Hadis tentang kadar ganjaran, balasan serta jenis-jenis atau bentuk balasan dan ganjaran yang kita tidak ketahui bahawa Hadis itu maudhu' (palsu), harus meriwayat dan beramal dengannya. Dengan erti kata, jiwa manusia ini mengharapkan balasan dan takut siksaan, laksana seorang lelaki yang mengetahui bahawa berniaga itu untung, kemudian diberitahu kepadanya bahawa keuntungan yang akan diperolehi sangat banyak. Maka jika dia cuba dan benar perkhabaran itu, dia dapat manfaatnya. Jika tidak benar, tidak memudaratkannya. Itulah contoh dalam bab targhib dan tarhib dengan membawa kisah-kisah israeliyyat, mimpi-mimpi, kata-kata salaf, ulamak dan peristiwa-peristiwa yang terjadi pada ulamak. Semua itu semata-mata tidak boleh dijadikan dalil untuk mengithbatkan sesuatu hukum sama ada sunat atau sebagainya, tetapi boleh sekadar untuk terghib (menggemarkan), tarhib (menggerunkan) tarjih (menimbulkan harapan) dan takhwif (menakutkan).

Maka apabila Hadis Dha'eef berkenaan fadhilat-fadhilat yang mengandungi kadar dan penetapan seperti dinyatakan solat pada waktu tertentu dengan membaca bacaan tertentu atau dengan sifat tertentu, itu tidak harus kerana itu bermakna menetapkan sesuatu yang tidak thabit dalil syar'iy.  Berbeza kalau menyebut bahawa siapa yang masuk ke pasar, lalu dia membaca zikir sekian sekian dia dapat sekian sekian. Ini kerana mengingati Allah di pasar memang sunat kerana mengingati Allah di kalangan orang-orang yang lalai.

Maka meriwayatkan kadar pahala, tidak menjejaskan sama ada thabit atau tidak.

Kesimpulannya, di dalam bab ini boleh meriwayatkan dan mengamalkan dalam memberi targhib (menggemarkan) dan tarhib (menggerunkan), bukan dalam menetapkan hukum sunat. Kemudian i'tiqad adanya ganjaran pahala dan siksa dalam kadar tertentu juga perlu ada dalil syar'iy . (Akhir kata-kata Ibn Taimiyyah)

Berbalik kepada Hadis yang diperkatakan tentang pembahagian Ramadhan kepada tiga fasa, pada pandangan penulis haruslah berdasarkan dalil yang sahih. Jika tidak, elok kembali kepada dalil yang diyakini kesahihannya seperti Hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang puasa Ramadhan dengan iman dan ihtisab (dengan bersungguh-sungguh mengharap pahala daripada Allah Ta'ala) diampunkan apa yang terdahulu daripada dosanya." Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

Seluruh Ramadhan wajib dihayati dengan iman bahawa puasa ini difardhukan Allah dengan melaksanakan puasa dalam keadaan tulus ikhlas mengharapkan pahala daripadaNya semata-mata, bukan mengharap sesuatu yang lain daripada itu. Allahu A'lam.


Tuesday, July 9, 2013

Pemergianmu Ditangisi


Setiap manusia pasti akan diuji oleh Allah S.W.T..Sememangnya ujian yang hadir dalam hidup sentiasa mewarnai corak perjalanan kita.Sama ada ujian yang kita temputi besar ataupun kecil, ia tetap akan seiring dengan hidup kita kerana ujian adalah satu lumrah kehidupan.Firman Allah:

         "Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekuranganharta, jiwa, dan buah-buahan.Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang2 yang sabar" (Al-Baqarah, 2:155)


Tahun 2013 adalah tahun yang paling besar dugaan bagi diriku dan keluarga.Bila mana orang yang tersayang telah pergi meninggalkan kita, pastinya akan dirasai oleh sesiapa saja. 11 Mac 2013,tarikh yang sentiasa akan menjadi ingatanku sampai bila-bila kerana perginya seorang Abah dalam hidupku.Abah telah pergi meninggalkan kami disebabkan penyakit barah paru-paru tahap 4. Sampai sekarang, masih segar lagi dalam ingatanku saat-saat aku menjaga ayah seminggu sebelum pemergiannya.

4 Mac 2013 (Isnin), aku tiba di stesen Keretapi Kuala Krai tepat jam 8 pagi.Kebetulan hari tersebut, abah ada temujanji dengan hospital untuk pemeriksaan paru-paru.Aku dijemput oleh pak sedare, ibu dan abah aku.
"Assalamualaikum." Sapaku."Waalaikumussalam". Abah menjawab."Macam mana keadaan abah?" Sambungku untuk bertanyakan khabar abah. "Batuk abah masih tak hilang lagi.badan abah pun rasa mcam makin tak bertenaga". jawabnya dalam keadaan tak bermaya.
Kami terus bergerak ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan paru-paru dengan CT Scan.Seminggu sebelum pemeriksaan CT Scan, abah sudahpun dimasukkan ke dalam wad. Pemeriksaan x-ray dan ujian kahak juga telah dijalankan sebelum ini. Hasil dari pemeriksaan awal, Doktor yang bertugas  mengesahkan bahawa abah hanya mengidap penyakit tibi.

Tiba di hospital, aku disuruh oleh abah untuk mengambil kerusi roda disebabkan tubuh abah yang kelihatan makin tidak bertenaga.Selesai pemeriksaan, Kami terus pulang ke rumah.Sepanjang perjalanan, hati aku makin resah dan makin tidak tenteram.Batuk abah tidak pernah putus bahkan makin teruk. Dalam hati, aku tidak putus-putus berdoa pada Allah supaya diberi kesihatan kepada abahku dan  dijauhkan dari segala penyakit merbahaya terutamanya penyakit barah.

Sepanjang berada di rumah, ibulah yang menjadi tulang rusuk kepada abah.Ibu tidak pernah mengeluh untuk menjaga abah. Kulihat raut wajah ibu, begitu tenang sekali.Padahal aku tahu, disebalik ketenangannya, ada sesuatu yang sukar untuk digambarkan dengan fizikalnya. Jauh di lubuk hatinya, pasti ibu merasa sedih dan sebak, seolah2 tidak mampu untuk diluahkan dengan perasaan.

Setiap pagi, abah diminta untuk makan ubat tibi di Klinik Manek Urai. Aku ditemani ibu untuk menghantar abah ke klinik.Disebabkan aku belum lagi membeli tiket balik ke Johor, aku mengambil kesempatan untuk terus membeli tiket keretapi di Manek Urai selepas menghantar abahku ke klinik. Jarak antara klinik dengan stesen keretapi Manek Urai hanyalah dalam dua kilometer. Selesai membeli tiket, aku terus bergerak ke klinik untuk mengambil abahku. "Macam mana, ada ke tak tiket?".Tanya abah."Ada. saya beli tiket pada hari Ahad, 10 Mac 2013". Jawabku dengan tenang.Walaupun dalam hatiku memang ingin menjaga abah sampai abah betul-betul sihat, namun abah juga yang suruh aku beli tiket balik Johor kerana tidak mahu melihat pelajaranku terganggu disebabkan kesihatannya.

7 Mac 2013 (Khamis), batuk abah makin teruk dari hari sebelumnya.Kebetulan lepas maghrib, abangku menelefon dan mencadangkan agar abah dibawa ke Hospital Kuala Krai. Aku, ibu, nenek dan adik-adik bersiap2 untuk memghantar abah ke hospital. Kebetulan juga pada hari tersebut, adik hafiz dilanda demam panas.Tiba di hospital, abah dan adik hafiz dimasukkan ke dalam wad kecemasan. Hasil pemeriksaan x-ray sekali lagi, didapati paru-paru abah sebelah kanan semakin teruk. Hampir 2 jam di wad kecemasan, abah terpaksa ditahan di dalam wad,manakala adik hafiz hanya diberi suntikan dan ubat demam. Melihat keadaan abah pada ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa beratnya hati untuk terima semua keadaan ini. Hampir jam 12 tgh malam, aku diminta oleh ibu supaya pulang ke rumah bersama dengan adik-adik dan nenek manakala ibu berada di wad untuk menemani abah.

8 Mac 2013 (Jumaat), aku menelefon ibu."Assalamualaikum ibu. Macam mana keadaan abah?"tanyaku .
Ibu terus menjawab pertanyaanku."Waalaikumussalam.Keadaan abah stabil.cuma abah kena pakai alat bantuan pernafasan oksigen kerana susah nak bernafas".

Hampir jam 10 pagi, aku dan nenek bersama dua adikku terus bergerak menuju ke hospital. Ibu juga memberitahuku bahawa abang sulungku sedang dalam perjalanan pulang. Abangku telah bertolak dari Shah Alam seawal subuh  pagi tadi. Tiba di hospital, aku terus dapatkan abah untuk melihat keadaannya. Kebetulan sebaik saja aku sampai di wad, doktor yang merawat abah sedang melihat keputusan pemeriksaan CT scan yang telah dijalankan sebelum ini.

"Encik, saya harap encik dapat bersabar. Hasil daripada pemeriksaan CT Scan yang lepas, encik didapati telah mengidap penyakit barah paru-paru tahap 4." Sapa doktor.

Suasana di wad terdiam seketika. Seolah-seolah mimpi buruk telah menjadi kenyataan. Aku bagaikan tidak mampu untuk menerima keadaan ini."Allahuakbar. betul ke doktor?".tanyaku seolah-olah inginkan kepastian. Sebaik sahaja pengesahan daripada doktor, aku terus memberi kekuatan dan semangat kepada abah. Abah seolah-olah redha dan pasrah atas apa yang telah berlaku. Wajahnya pucat dan tidak bermaya.

Sambung doktor. " Ya, betul. buat masa sekarang, encik kena bersabar. saya akan cuba hubungi doktor pakar Hospital Kubang Kerian untuk rawatan lanjut . Pembedahan tidak dapat dilakukan kerana barah telah merebak ke bahagian organ lain. Rawatan yang boleh dilakukan hanyalah rawatan kemoterapi dan  ini mungkin akan melibatkan kos dan jangka masa yang panjang untuk pulih. "

Aku tidak putus-putus memberi semangat kepada abah. Begitu juga ibu. Waktu melawat hampir habis. Aku terus bersiap-siap untuk solat jumaat di masjid yang berdekatan. Di masjid, aku tidak putus-putus berdoa kepada Allah." Ya Allah. engkau yang menentukan hidup dan mati setiap hamba-Mu. aku tidak berdaya untuk berhadapan dengan situasi ini Ya Allah. Berilah aku kekuatan. Kau sembuhkanlah penyakit abahku Ya Allah.".

Selesai solat jumaat, aku terus menuju ke hospital. Tiba di sana, abangku baru sahaja tiba di hospital dan kami terus mencari kedai makan untuk mengisi perut yang lapar.Aku menceritakan semuanya mengenai keadaan abah. Seharian aku dan keluarga di hospital. Hampir jam 5 petang, Ibu menyuruhku dan abangku pulang bersama dengan nenek dan adik-adik.

9 Mac 2013 (Sabtu), Seperti biasa, aku dan nenek terus menuju ke hospital dalam pukul 10 pagi. Tiba di hospital, aku lihat wajah abah begitu tenang.Walaupun dia tahu peluang untuk dia sihat mungkin agak tipis. Tapi abah seolah-olah sudah pasrah setiap takdir yang Allah telah tetapkan. Ibu memintaku untuk menjaga abah kerana ingin pulang ke rumah. Sementara aku di wad, abah sempat lagi bertanya kepadaku.

" Macam mana dengan pelajaran?". "Alhamdulillah abah.semuanya ok".Jawabku.
"Nanti balik Johor, janganlah fikir sangat pasal abah. InsyaAllah, abah akan sihat. Tumpukan pelajaran.Jangan sebab abah, pelajaran terganggu." Pesan abah. Aku terus angguk sambil kepala tunduk ke lantai.

Hari ini kesihatan abah agak stabil. Batuk abah juga sudah hilang. Kawan-kawan abah juga ramai yang datang melawat.. Keadaan ini membuatkan abah bertambah tenang. Abah sempat lagi berbual-bual dengan kawan-kawannya seolah-olah kesihatan abah sudahpun baik. Tepat jam 5 petang, ibu tiba di wad bersama-sama dengan abangku. Selesai solat maghrib di hospital, kami terus pulang ke rumah dan ibu keseorangan di wad untuk menemani abah.

10 Mac 2013 (Ahad), Sebelum aku bertolak  ke hospital, aku sempat menelefon ibu di hospital. 
"Assalamualaikum ibu. Macam keadaan abah?" Tanyaku.
"Waalaikumussalam. Keadaan abah makin teruk. semalam abah tak dapt tidur sebab sesak nafas. Abah terpaksa pakai alat bantuan pernafasan oksigen yang besar. Abah makin tidak bermaya." Jawab ibu dengan nada resah.Mendengar reaksi daripada ibu, aku terus membuat persiapan untuk pergi ke hospital. Hari tersebut juga menyaksikan aku berada di sisi abah buat kali yang terakhir.

Tiba di hospital, aku dan adik beradik yang lain berada di sisi abah. Hanya kembarku dan adik perempuan yang masih belum pulang ke rumah.Menurut ibu, adik perempuan akan pulang esok menaiki bas manakala kembarku akan pulang pada hari rabu.

Melihat keadaan abah, aku terus berfikir untuk batalkan niatku pulang ko Johor lewat malam ni. Tetapi, abah dengan nada tenang menyuruh aku untuk pulang juga ke Johor. Begitu juga dengan ibu. Abah mengingatkan aku supaya jangan terlalu risau mengenai beliau. Lagipun, adik perempuan dan kembarku akan pulang ke rumah dalam masa yang terdekat.

"Baliklah Johor.jangan risaukan abah.Allah sentiasa bersama dengan abah. Titipkan doa dalam setiap solatmu supaya abah cepat sembuh yerr."Pesan abah. " Baik abah. saya akan doakan untuk abah.Moga Allah berikan kekuatan kepada abah" Sambungku.Itulah kali terakhir aku melihat abah. Menyesalnya aku pulang ke Johor. Malangkah nasibku??

Jam menunjukkan 8 malam. Waktu melawat hampir habis. Sebelum bertolak menuju stesen keretapi, aku bersalam dan mencium tangan abah. Itulah saat dan detik terakhir aku meraut dan melihat wajahnya.Saat-saat yang aku tidak akan pernah lupakan dan akan sentiasa segar di ingatanku Tiada siapa yang menduga dengan perancangan Allah. Aku terus menuju ke stesen Keretapi ditemani abangku dan menaiki keretapi tepat jam 10 malam.

11 Mac 2013 (Isnin), Tiba di Stesen Keretapi Kulai,aku dijemput kawanku Fahmi tepat jam 10 pagi. Sampai di rumah, aku terus menelefon ibu untuk menanyakan khabar tentang abah.Menurut ibu, abah dalam keadaan stabil dengan bantuan alat pernafasan. Sebaik mendengar reaksi ibu, hatiku merasa lega sedikit.

Hari tersebut adalah hari yang paling dukacita buatku. Selepas Zohor, aku terus bergegas ke klinik UTM akibat sakit gusi yang tiba-tiba datang. Di klinik, aku menerima mesej daripada akh Hafiz juga sebagai naqibku dalam usrah.

"Assalamualaikum.akh apa khabar?Bagaimana keadaan enta sekarang?". Tanya beliau. "Waalaikumussalam. ana tak berapa sihat. ana diserang sakit gusi. Abah ana menghidap barah paru-paru tahap 4." Jawabku.Dengan nada terkejut, akh Hafiz terus membalas mesejku.

"Ya Rabb.Semoga enta bersabar atas dugaan semua ni.Sekarang ni enta ada di Kelantan atau Johor?" aku terus membalas mesej beliau."InsyaAllah akh.Ana sekarang ada di Johor.Pagi tadi baru sampai".

Selesai urusanku di klinik,aku terus pulang ke makmal. Tiba-tiba, aku menerima panggilan daripada abangku dengan penuh resah. "Assamualaikum abang."Aku memberi salam sambil turun dari motosikal.Kebetulan aku baru sampai di makmal. "Waalaikumussalam." Suara abang perlahan.seolah-olah ada sesuatu yang ingin beritahu. Abang terus bersuara."Sin sabar yer. Abah baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Abang pun sekarang dalam perjalanan ke hospital. Sin cepat balik yerr" .

Aku terdiam seketika.Terasa nafasku sesak dan tubuh kaku tidak bermaya. Air mata ku mencurah-curah keluar. Bagaikan tidak mampu untuk menerima takdir Allah. Tak sampai pun 24 jam aku balik Johor, aku dikhabarkan dengan berita sangat sedih ini. Dalam hatiku, timbul beribu penyesalan dengan setiap coretan takdir Allah ini.

"Abah !!".Aku sangat menyesal kerana tidak ada di samping abah sehingga ke pemergiannya. "Ya Allah, aku tidak menduga sekali dengan setiap aturan-Mu ni Ya Allah. Terasa sangat pantas Kau mengambil abahku." Aku terus merintih kepada Allah.

Aku menelefon naqib dan penyeliaku tentang musibah ini. Aku terus bergesas pulang ke rumah sambil mengemas pakaianku untuk pulang ke Kelantan . Sampai di rumah sewa, kawanku Fikri yang kebetulan ada di rumah turut bersimpati dengan keadaanku. Aku menelefon kawanku Khairol yang bekerja di Senai untuk mencari tiket kapal terbang. Menurut Khairol, tiket kapal terbang dari Johor terus ke Kelantan tidak dijual pada hari ini. Penyelesaiannya, Khairol bersama dengan Fikri dan Faiz sanggup menghantarku ke LCCT Sepang. Tiket kapal terbang juga telah dibeli di lapangan terbang Senai di mana aku terpaksa menaiki kapal terbang dari LCCT jam 9 mlm. Tepat jam 4 petang, kami terus menuju ke LCCT Sepang.

Dalam perjalanan, kawanku Amin yang kebetulan berada di Kota Bharu menawarkan khidmatnya untuk menjemputku dari Lapangan Terbang Pengkalan Chepa sebaik sahaja aku tiba nanti. Aku bersyukur kerana masih mempunyai kawan yang sangat prihatin dan sanggup untuk menolongku dalam keadaan susah. Aku tidak putus-putus menerima mesej dan panggilan dari kawan-kawan mengenai musibah ini.

TIba di LCCT Sepang pada jam 7.30 malam, Abangku dengan suara serak sekali lagi menelefonku. "Assalamualaikum. Abah sudahpun siap dikafankan.cuma tunggu Sin jer. Macam mane? agak-agak sampai pukul berapa di rumah?

Kalaulah rumah aku di Kota Bharu mungkin sempat aku jumpa abah untuk kali terkhir. Masa untuk sampai di rumah aku dari lapangan terbang Pengkalan Chepa dalam 2 jam. Bermakna, paling awal mungkin aku akan sampai di rumah jam 12 tengah malam.

Aku terus menjawab. "Walaikumussalam. saya mungkin sampai di rumah paling awal pukul 12 tgh malam. Mungkin agak lewat kalau betul2 nk tunggu saya sampai. Tak pe, abang bagitahu Ibu, Siapkanlah jenazah abah secepat mungkin. Saya ikhlas dan pasrah kalau tak sempat jumpa dan cium abah untuk kali terakhir."

Walaupun berat untuk aku beri keputusan, namun aku pasrah. Aku tak mahu menyusahkan Imam dan orang-orang kampung semata-mata untuk tunggu aku sampai. Arwah abah selamat dikebumikan jam 10 malam. Ketibaanku di Airport Pengkalan Chepa disambut oleh sahabatku Amin dan isterinya Hafsah. Mereka mengucapkan takziah kepadaku. Dalam perjalanan, kawanku Hairi yang kebetulan berada di Machang ingin bersama-dengan dengan Amin untuk mengiriku pulang ke rumah. Kami menjemputnya di Machang dan aku tiba di rumah tepat jam 12 tengah malam. 

Tiba di rumah, tiada lagi wajah abah yang  inginku tatap untuk terakhir kalinya. Semua sudah berakhir dan Abah telahpun pergi buat selama-lamanya...

Terima kasih kepada ikhwah-ikhwah dan sahabat-sahabat yang tidak putus-putus memberi kekuatan dan semangat. Moga Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan antum.

" Doaku sentiasa mengirimu di sana Abah. Hanya doa sahaja yang yang dapat kutitipkan agar dirimu tenang di sana dan sentiasa bersama-bersama dengan para solihin, muttaqin dan muqarrabin . Amin. Ya Rabb"



"Dan Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” ( Al-Mulk: 2)


~~Al-Fatihah~~

03-11-1963----11-03-2013