__AHLan WAsaHLan__

Wednesday, January 4, 2012

Thabat Hingga Ke Hujung Hayat, Thabat Sehingga Nafas Terakhir Diangkat

Thabat satu kalimah yang begitu berat, kalimah yang memukul setiap jiwa Muslim bahawa tanggungjawab sebagai hamba Allah Taala, tak terpikul hanya dengan zikir dan munajat ia mesti dituruti dengan disiplin dan tindakan.





Thabat itu beban Muslim di dunia, manisnya di akhirat. Bukan mudah menjadi Muslim yang thabat, ada masa kita bersemangat dan tiba-tiba perasaan yang berkobar-kobar itu tersekat. Futur, tiada keyakinan, setiap situasi ditebas sifat negatif yang amat sangat. Mengapa tidak thabat?

Ya Allah, kurniakan aku thabat. Thabat menjulang syiarMU hingga ke hujung hayat.Thabat walau aku tinggal keseorangan. Thabat mempertahankan hak-hakMU sehingga nafas terakhir diangkat. Ya Allah, berikan aku thabat sebagaimana RasulMU Muhammad, salallahualaihi wasalam. Tanamkan hatiku thabat seperti Sahabat, generasi yang Engkau anugerahkan mereka keyakinan dan cinta kepadaMU tanpa syarat.

Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Mengetahui jiwaku sangat sedih dan derita.

Sewaktu Abu Bakar as Siddiq bertemu Hanzalah, Abu Bakar bertanya kepadanya,"Bagaimana keadaan engkau wahai Hanzalah?

“Hanzalah telah menjadi orang munafik”, jawab Hanzalah.

Lantas Abu Bakar menegur apa yang dikatakan oleh Hanzalah tentang apa yang diperkatakan.

Hanzalah kemudiannya menerangkan kepada Abu Bakar;

[Semasa kita berada di sisi Rasulullah salallahualaihi wasalam, Baginda telah memperingatkan kita tentang syurga dan neraka sehingga seolah-olah kita melihatnya dengan mata. Tetapi, apabila kita meninggalkan Baginda, kita telah sibuk dengan isteri, anak-anak dan harta benda sehinggakan banyak yang kita lupakan].

Mendengar keluhan Hanzalah, Abu Bakar pun berkata,"Demi Allah, aku-pun menghadapi keadaan yang sama.

Lalu Hanzalah bersama Abu Bakar menemui Rasulullah salallahualaihi wasalam sambil menceritakan perihal tersebut. Apabila Hanzalah berhadapan dengan Nabi, lantas Hanzalah berkata,"Wahai Rasulullah, Hanzalah telah menjadi munafik".

Nabi terkejut dengan perkataan Hanzalah justeru Baginda berkata,"Apa halnya ini?

Hanzalah menerangkan masalah yang sama telah dibicarakan kepada Abu Bakar sebentar tadi. Mendengar rintihan Hanzalah itu, lantas Baginda salallahualaihi wasalam bersabda :


[Dan demi diriku yang berada di tanganNYA (Allah) seandainya kamu terus kekal seperti mana kamu berada di sampingku (melakukan muhasabah) dan terus berzikir (kepada Allah) nescaya Para Malaikat akan bersamamu (melindungimu) sama ada kamu berada di alas tempat tidur ataupun di jalan. Tetapi wahai Hanzalah lakukanlah dari masa ke semasa (diulangi 3 kali)].

Thabat itu ada tiga keadaan :

Pertama : Thabat dengan hati yang ikhlas, mempertahankan kebenaran di depan khalayak, bukan untuk menunjukkan diri sebagai hero tetapi suatu kewajipan agama yang perlu diperjuangkan.

Kedua : Thabat dengan hati yang sabar, menunaikan tanggungjawab agama Allah Taala, cekal dan tidak flip flop (berbolak-balik).

Ketiga : Thabat dengan hati yang raja’, menunggu kemenangan yang dijanjikan Tuhan tanpa rasa putus asa, jemu atau menyesal di akhirnya.

Umar Mukhtar rahimahuLlah, lagenda pejuang dari Libya ini tetap thabat sekalipun usianya menjangkau 73 tahun. Dalam usia 73 tahun, warga emas dari bangsa Melayu lazimnya berulang-alik menuju masjid menunaikan solat, mengumpul duit menunaikan haji, menunggu waktu menyahut panggilan Ilahi. Tetapi bagi tokoh yang berusia 73 ini bukan sekadar solat, tetapi masih terus berjihad biarpun umurnya sudah di akhir kudrat.

Umar Mukhtar, imannya seteguh Sumayyah, bicaranya selantang Bilal, hatinya secekal Saed ibn Musayyab. Beberapa tulang-belulang Umar telah retak dan patah, tetapi anggotanya tetap bergerak menentang penjajah. Jiwanya masih syabab, tidak berganjak untuk terus kelihatan bersemangat menggerakkan turus jihad menentang kuasa kolonial Barat (Itali) yang rakus meratah.

Kerajaan Itali pernah memberikan tawaran kepada Umar Mukhtar supaya menghentikan usaha menggerakkan tentera-tentera jihad dengan tawaran menunaikan haji. Lalu jawab Umar.

"Sesungguhnya tawaran tersebut tidak sekali-kali memadamkan kebenaran di jiwaku untuk menentang pencerobohan kamu (Itali). Menegakkan kalimah Allah dengan melindungi negara kami dari penjajahan, lebih tinggi nilainya dari tawaran-tawaran hipokrasi".

Namun, pembelotan yang dilakukan A`Sharaf Algheriani terhadap Umar menyebabkan beliau akhirnya ditangkap oleh tentera-tentera Itali pada tahun 1931. Umar ditahan di kem Benghazi dan dibicarakan. Biarpun pada waktu itu tiada pilihan lain yang boleh dilakukan Umar, kalimah-kalimah yang benar terus disuarakan, menuntut hak dan kemerdekaan Libya.

“Adakah kamu yang menggerakkan kebangkitan rakyat, mencabar kerajaan Itali?”, General Ghretisiani bertanya sambil berkerut melihat wajah dan tubuh Umar yang sudah berusia. Lipatan-lipatan di dahi Umar, jelas membuktikan beliau seorang tua yang uzur. Tetapi, orang seusia ini tidak pernah berhenti memikirkan masa depan Islam dan masyarakatnya, lantas bergerak memperjuangkan nasib bangsanya.

“Iya, sayalah orangnya, jawab Umar rahimahuLlah.

“Adakah kamu tahu hukuman yang bakal dikenakan di atas perbuatan kamu?”.

“Iya, saya sudah tahu akibatnya”.

“Berapa tahun kamu berperang menentang Itali?”.

“10 tahun”.

“Mengapa kamu bersungguh-sungguh menentang kami?”.

“Demi Islam dan tanah airku”.

“Adakah kamu menyesal di atas perbuatan kamu ini?”.

“Tidak!!”.

“Aku sedih engkau mengakhiri usiamu dengan kerja yang sia-sia”.

“Aku tidak menyesal. Inilah sebaik-baik jalan aku menamatkan sisa-sisa hidupku”.

Kemudian General Ghretisiani menawarkan pengampunan kepada Umar Mukhtar.

“Itali telah memutuskan untuk memberikanmu pengampunan dan membebaskan kamu dari hukuman, tetapi dengan syarat kamu menulis surat, sebagai arahan kepada seluruh tentera mujahidin di Libya supaya menghentikan gerakan penentangan terhadap Itali”.

Dalam keadaan tubuh Umar diikat dengan rantai besi, beliau melihat General Ghetisiani dengan pandangan yang gagah penuh thabat menuturkan pendirian;


[Sesungguhnya jari telunjuk ini yang menyaksikan setiap kali solat bahawa Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruhNYA, tidak akan menulis kalimah yang batil!!].

Menurut sejarah, sebelum Umar Mukhtar syahid di tali gantung, beliau telah mengucapkan kata-kata terakhir di hadapan saksi-saksi kematiannya. Dengan memetik ayat al Quran, Umar thabat dengan menuturkan keyakinan janji-janji Allah iaitu syurgaNYA ;

“Wahai orang Yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang (tetap dengan kepercayaan). Kembalilah kepada Tuhan-mu dengan keadaan engkau berpuas hati (atas segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKU yang berbahagia. Dan masuklah ke Dalam SyurgaKU” - surah al Fajr:27-30, al Quranul Karim

Perjalanan dakwah itu jauh, kemungkinan kita tewas mahupun jatuh. Kemenangan itu bukanlah bermakna kita bekerja hari ini dan esok ganjarannya dirasai. Kemenangan itu bukanlah usaha yang berkira-kira kamu akan mati dan orang lain menjulangmu sebagai syahid. Kemenangan itu tinggi maka ia perlu dicapai dengan martabat yang paling tinggi iaitu kamu ikhlas memperjuangkan deen ini, walau keputusanyang bakal engakau terima kalah atau menang, walau dirimu dikenang orang ataupun dilupakan.

Thabatlah jiwaku dan thabatlah. Thabatlah jiwaku walau ketika itu engkau tinggal keseorangan. Thabat dan tetap thabatlah.

Oleh : Mohd Azmir Hj Maideen
Kuliyah Usuluddin Jabatan Dakwah & Thaqafah Islamiyah, Universiti Al-Azhar Kaherah

No comments:

Post a Comment