__AHLan WAsaHLan__

Tuesday, July 9, 2013

Pemergianmu Ditangisi


Setiap manusia pasti akan diuji oleh Allah S.W.T..Sememangnya ujian yang hadir dalam hidup sentiasa mewarnai corak perjalanan kita.Sama ada ujian yang kita temputi besar ataupun kecil, ia tetap akan seiring dengan hidup kita kerana ujian adalah satu lumrah kehidupan.Firman Allah:

         "Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekuranganharta, jiwa, dan buah-buahan.Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang2 yang sabar" (Al-Baqarah, 2:155)


Tahun 2013 adalah tahun yang paling besar dugaan bagi diriku dan keluarga.Bila mana orang yang tersayang telah pergi meninggalkan kita, pastinya akan dirasai oleh sesiapa saja. 11 Mac 2013,tarikh yang sentiasa akan menjadi ingatanku sampai bila-bila kerana perginya seorang Abah dalam hidupku.Abah telah pergi meninggalkan kami disebabkan penyakit barah paru-paru tahap 4. Sampai sekarang, masih segar lagi dalam ingatanku saat-saat aku menjaga ayah seminggu sebelum pemergiannya.

4 Mac 2013 (Isnin), aku tiba di stesen Keretapi Kuala Krai tepat jam 8 pagi.Kebetulan hari tersebut, abah ada temujanji dengan hospital untuk pemeriksaan paru-paru.Aku dijemput oleh pak sedare, ibu dan abah aku.
"Assalamualaikum." Sapaku."Waalaikumussalam". Abah menjawab."Macam mana keadaan abah?" Sambungku untuk bertanyakan khabar abah. "Batuk abah masih tak hilang lagi.badan abah pun rasa mcam makin tak bertenaga". jawabnya dalam keadaan tak bermaya.
Kami terus bergerak ke Hospital Kuala Krai untuk pemeriksaan paru-paru dengan CT Scan.Seminggu sebelum pemeriksaan CT Scan, abah sudahpun dimasukkan ke dalam wad. Pemeriksaan x-ray dan ujian kahak juga telah dijalankan sebelum ini. Hasil dari pemeriksaan awal, Doktor yang bertugas  mengesahkan bahawa abah hanya mengidap penyakit tibi.

Tiba di hospital, aku disuruh oleh abah untuk mengambil kerusi roda disebabkan tubuh abah yang kelihatan makin tidak bertenaga.Selesai pemeriksaan, Kami terus pulang ke rumah.Sepanjang perjalanan, hati aku makin resah dan makin tidak tenteram.Batuk abah tidak pernah putus bahkan makin teruk. Dalam hati, aku tidak putus-putus berdoa pada Allah supaya diberi kesihatan kepada abahku dan  dijauhkan dari segala penyakit merbahaya terutamanya penyakit barah.

Sepanjang berada di rumah, ibulah yang menjadi tulang rusuk kepada abah.Ibu tidak pernah mengeluh untuk menjaga abah. Kulihat raut wajah ibu, begitu tenang sekali.Padahal aku tahu, disebalik ketenangannya, ada sesuatu yang sukar untuk digambarkan dengan fizikalnya. Jauh di lubuk hatinya, pasti ibu merasa sedih dan sebak, seolah2 tidak mampu untuk diluahkan dengan perasaan.

Setiap pagi, abah diminta untuk makan ubat tibi di Klinik Manek Urai. Aku ditemani ibu untuk menghantar abah ke klinik.Disebabkan aku belum lagi membeli tiket balik ke Johor, aku mengambil kesempatan untuk terus membeli tiket keretapi di Manek Urai selepas menghantar abahku ke klinik. Jarak antara klinik dengan stesen keretapi Manek Urai hanyalah dalam dua kilometer. Selesai membeli tiket, aku terus bergerak ke klinik untuk mengambil abahku. "Macam mana, ada ke tak tiket?".Tanya abah."Ada. saya beli tiket pada hari Ahad, 10 Mac 2013". Jawabku dengan tenang.Walaupun dalam hatiku memang ingin menjaga abah sampai abah betul-betul sihat, namun abah juga yang suruh aku beli tiket balik Johor kerana tidak mahu melihat pelajaranku terganggu disebabkan kesihatannya.

7 Mac 2013 (Khamis), batuk abah makin teruk dari hari sebelumnya.Kebetulan lepas maghrib, abangku menelefon dan mencadangkan agar abah dibawa ke Hospital Kuala Krai. Aku, ibu, nenek dan adik-adik bersiap2 untuk memghantar abah ke hospital. Kebetulan juga pada hari tersebut, adik hafiz dilanda demam panas.Tiba di hospital, abah dan adik hafiz dimasukkan ke dalam wad kecemasan. Hasil pemeriksaan x-ray sekali lagi, didapati paru-paru abah sebelah kanan semakin teruk. Hampir 2 jam di wad kecemasan, abah terpaksa ditahan di dalam wad,manakala adik hafiz hanya diberi suntikan dan ubat demam. Melihat keadaan abah pada ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa beratnya hati untuk terima semua keadaan ini. Hampir jam 12 tgh malam, aku diminta oleh ibu supaya pulang ke rumah bersama dengan adik-adik dan nenek manakala ibu berada di wad untuk menemani abah.

8 Mac 2013 (Jumaat), aku menelefon ibu."Assalamualaikum ibu. Macam mana keadaan abah?"tanyaku .
Ibu terus menjawab pertanyaanku."Waalaikumussalam.Keadaan abah stabil.cuma abah kena pakai alat bantuan pernafasan oksigen kerana susah nak bernafas".

Hampir jam 10 pagi, aku dan nenek bersama dua adikku terus bergerak menuju ke hospital. Ibu juga memberitahuku bahawa abang sulungku sedang dalam perjalanan pulang. Abangku telah bertolak dari Shah Alam seawal subuh  pagi tadi. Tiba di hospital, aku terus dapatkan abah untuk melihat keadaannya. Kebetulan sebaik saja aku sampai di wad, doktor yang merawat abah sedang melihat keputusan pemeriksaan CT scan yang telah dijalankan sebelum ini.

"Encik, saya harap encik dapat bersabar. Hasil daripada pemeriksaan CT Scan yang lepas, encik didapati telah mengidap penyakit barah paru-paru tahap 4." Sapa doktor.

Suasana di wad terdiam seketika. Seolah-seolah mimpi buruk telah menjadi kenyataan. Aku bagaikan tidak mampu untuk menerima keadaan ini."Allahuakbar. betul ke doktor?".tanyaku seolah-olah inginkan kepastian. Sebaik sahaja pengesahan daripada doktor, aku terus memberi kekuatan dan semangat kepada abah. Abah seolah-olah redha dan pasrah atas apa yang telah berlaku. Wajahnya pucat dan tidak bermaya.

Sambung doktor. " Ya, betul. buat masa sekarang, encik kena bersabar. saya akan cuba hubungi doktor pakar Hospital Kubang Kerian untuk rawatan lanjut . Pembedahan tidak dapat dilakukan kerana barah telah merebak ke bahagian organ lain. Rawatan yang boleh dilakukan hanyalah rawatan kemoterapi dan  ini mungkin akan melibatkan kos dan jangka masa yang panjang untuk pulih. "

Aku tidak putus-putus memberi semangat kepada abah. Begitu juga ibu. Waktu melawat hampir habis. Aku terus bersiap-siap untuk solat jumaat di masjid yang berdekatan. Di masjid, aku tidak putus-putus berdoa kepada Allah." Ya Allah. engkau yang menentukan hidup dan mati setiap hamba-Mu. aku tidak berdaya untuk berhadapan dengan situasi ini Ya Allah. Berilah aku kekuatan. Kau sembuhkanlah penyakit abahku Ya Allah.".

Selesai solat jumaat, aku terus menuju ke hospital. Tiba di sana, abangku baru sahaja tiba di hospital dan kami terus mencari kedai makan untuk mengisi perut yang lapar.Aku menceritakan semuanya mengenai keadaan abah. Seharian aku dan keluarga di hospital. Hampir jam 5 petang, Ibu menyuruhku dan abangku pulang bersama dengan nenek dan adik-adik.

9 Mac 2013 (Sabtu), Seperti biasa, aku dan nenek terus menuju ke hospital dalam pukul 10 pagi. Tiba di hospital, aku lihat wajah abah begitu tenang.Walaupun dia tahu peluang untuk dia sihat mungkin agak tipis. Tapi abah seolah-olah sudah pasrah setiap takdir yang Allah telah tetapkan. Ibu memintaku untuk menjaga abah kerana ingin pulang ke rumah. Sementara aku di wad, abah sempat lagi bertanya kepadaku.

" Macam mana dengan pelajaran?". "Alhamdulillah abah.semuanya ok".Jawabku.
"Nanti balik Johor, janganlah fikir sangat pasal abah. InsyaAllah, abah akan sihat. Tumpukan pelajaran.Jangan sebab abah, pelajaran terganggu." Pesan abah. Aku terus angguk sambil kepala tunduk ke lantai.

Hari ini kesihatan abah agak stabil. Batuk abah juga sudah hilang. Kawan-kawan abah juga ramai yang datang melawat.. Keadaan ini membuatkan abah bertambah tenang. Abah sempat lagi berbual-bual dengan kawan-kawannya seolah-olah kesihatan abah sudahpun baik. Tepat jam 5 petang, ibu tiba di wad bersama-sama dengan abangku. Selesai solat maghrib di hospital, kami terus pulang ke rumah dan ibu keseorangan di wad untuk menemani abah.

10 Mac 2013 (Ahad), Sebelum aku bertolak  ke hospital, aku sempat menelefon ibu di hospital. 
"Assalamualaikum ibu. Macam keadaan abah?" Tanyaku.
"Waalaikumussalam. Keadaan abah makin teruk. semalam abah tak dapt tidur sebab sesak nafas. Abah terpaksa pakai alat bantuan pernafasan oksigen yang besar. Abah makin tidak bermaya." Jawab ibu dengan nada resah.Mendengar reaksi daripada ibu, aku terus membuat persiapan untuk pergi ke hospital. Hari tersebut juga menyaksikan aku berada di sisi abah buat kali yang terakhir.

Tiba di hospital, aku dan adik beradik yang lain berada di sisi abah. Hanya kembarku dan adik perempuan yang masih belum pulang ke rumah.Menurut ibu, adik perempuan akan pulang esok menaiki bas manakala kembarku akan pulang pada hari rabu.

Melihat keadaan abah, aku terus berfikir untuk batalkan niatku pulang ko Johor lewat malam ni. Tetapi, abah dengan nada tenang menyuruh aku untuk pulang juga ke Johor. Begitu juga dengan ibu. Abah mengingatkan aku supaya jangan terlalu risau mengenai beliau. Lagipun, adik perempuan dan kembarku akan pulang ke rumah dalam masa yang terdekat.

"Baliklah Johor.jangan risaukan abah.Allah sentiasa bersama dengan abah. Titipkan doa dalam setiap solatmu supaya abah cepat sembuh yerr."Pesan abah. " Baik abah. saya akan doakan untuk abah.Moga Allah berikan kekuatan kepada abah" Sambungku.Itulah kali terakhir aku melihat abah. Menyesalnya aku pulang ke Johor. Malangkah nasibku??

Jam menunjukkan 8 malam. Waktu melawat hampir habis. Sebelum bertolak menuju stesen keretapi, aku bersalam dan mencium tangan abah. Itulah saat dan detik terakhir aku meraut dan melihat wajahnya.Saat-saat yang aku tidak akan pernah lupakan dan akan sentiasa segar di ingatanku Tiada siapa yang menduga dengan perancangan Allah. Aku terus menuju ke stesen Keretapi ditemani abangku dan menaiki keretapi tepat jam 10 malam.

11 Mac 2013 (Isnin), Tiba di Stesen Keretapi Kulai,aku dijemput kawanku Fahmi tepat jam 10 pagi. Sampai di rumah, aku terus menelefon ibu untuk menanyakan khabar tentang abah.Menurut ibu, abah dalam keadaan stabil dengan bantuan alat pernafasan. Sebaik mendengar reaksi ibu, hatiku merasa lega sedikit.

Hari tersebut adalah hari yang paling dukacita buatku. Selepas Zohor, aku terus bergegas ke klinik UTM akibat sakit gusi yang tiba-tiba datang. Di klinik, aku menerima mesej daripada akh Hafiz juga sebagai naqibku dalam usrah.

"Assalamualaikum.akh apa khabar?Bagaimana keadaan enta sekarang?". Tanya beliau. "Waalaikumussalam. ana tak berapa sihat. ana diserang sakit gusi. Abah ana menghidap barah paru-paru tahap 4." Jawabku.Dengan nada terkejut, akh Hafiz terus membalas mesejku.

"Ya Rabb.Semoga enta bersabar atas dugaan semua ni.Sekarang ni enta ada di Kelantan atau Johor?" aku terus membalas mesej beliau."InsyaAllah akh.Ana sekarang ada di Johor.Pagi tadi baru sampai".

Selesai urusanku di klinik,aku terus pulang ke makmal. Tiba-tiba, aku menerima panggilan daripada abangku dengan penuh resah. "Assamualaikum abang."Aku memberi salam sambil turun dari motosikal.Kebetulan aku baru sampai di makmal. "Waalaikumussalam." Suara abang perlahan.seolah-olah ada sesuatu yang ingin beritahu. Abang terus bersuara."Sin sabar yer. Abah baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Abang pun sekarang dalam perjalanan ke hospital. Sin cepat balik yerr" .

Aku terdiam seketika.Terasa nafasku sesak dan tubuh kaku tidak bermaya. Air mata ku mencurah-curah keluar. Bagaikan tidak mampu untuk menerima takdir Allah. Tak sampai pun 24 jam aku balik Johor, aku dikhabarkan dengan berita sangat sedih ini. Dalam hatiku, timbul beribu penyesalan dengan setiap coretan takdir Allah ini.

"Abah !!".Aku sangat menyesal kerana tidak ada di samping abah sehingga ke pemergiannya. "Ya Allah, aku tidak menduga sekali dengan setiap aturan-Mu ni Ya Allah. Terasa sangat pantas Kau mengambil abahku." Aku terus merintih kepada Allah.

Aku menelefon naqib dan penyeliaku tentang musibah ini. Aku terus bergesas pulang ke rumah sambil mengemas pakaianku untuk pulang ke Kelantan . Sampai di rumah sewa, kawanku Fikri yang kebetulan ada di rumah turut bersimpati dengan keadaanku. Aku menelefon kawanku Khairol yang bekerja di Senai untuk mencari tiket kapal terbang. Menurut Khairol, tiket kapal terbang dari Johor terus ke Kelantan tidak dijual pada hari ini. Penyelesaiannya, Khairol bersama dengan Fikri dan Faiz sanggup menghantarku ke LCCT Sepang. Tiket kapal terbang juga telah dibeli di lapangan terbang Senai di mana aku terpaksa menaiki kapal terbang dari LCCT jam 9 mlm. Tepat jam 4 petang, kami terus menuju ke LCCT Sepang.

Dalam perjalanan, kawanku Amin yang kebetulan berada di Kota Bharu menawarkan khidmatnya untuk menjemputku dari Lapangan Terbang Pengkalan Chepa sebaik sahaja aku tiba nanti. Aku bersyukur kerana masih mempunyai kawan yang sangat prihatin dan sanggup untuk menolongku dalam keadaan susah. Aku tidak putus-putus menerima mesej dan panggilan dari kawan-kawan mengenai musibah ini.

TIba di LCCT Sepang pada jam 7.30 malam, Abangku dengan suara serak sekali lagi menelefonku. "Assalamualaikum. Abah sudahpun siap dikafankan.cuma tunggu Sin jer. Macam mane? agak-agak sampai pukul berapa di rumah?

Kalaulah rumah aku di Kota Bharu mungkin sempat aku jumpa abah untuk kali terkhir. Masa untuk sampai di rumah aku dari lapangan terbang Pengkalan Chepa dalam 2 jam. Bermakna, paling awal mungkin aku akan sampai di rumah jam 12 tengah malam.

Aku terus menjawab. "Walaikumussalam. saya mungkin sampai di rumah paling awal pukul 12 tgh malam. Mungkin agak lewat kalau betul2 nk tunggu saya sampai. Tak pe, abang bagitahu Ibu, Siapkanlah jenazah abah secepat mungkin. Saya ikhlas dan pasrah kalau tak sempat jumpa dan cium abah untuk kali terakhir."

Walaupun berat untuk aku beri keputusan, namun aku pasrah. Aku tak mahu menyusahkan Imam dan orang-orang kampung semata-mata untuk tunggu aku sampai. Arwah abah selamat dikebumikan jam 10 malam. Ketibaanku di Airport Pengkalan Chepa disambut oleh sahabatku Amin dan isterinya Hafsah. Mereka mengucapkan takziah kepadaku. Dalam perjalanan, kawanku Hairi yang kebetulan berada di Machang ingin bersama-dengan dengan Amin untuk mengiriku pulang ke rumah. Kami menjemputnya di Machang dan aku tiba di rumah tepat jam 12 tengah malam. 

Tiba di rumah, tiada lagi wajah abah yang  inginku tatap untuk terakhir kalinya. Semua sudah berakhir dan Abah telahpun pergi buat selama-lamanya...

Terima kasih kepada ikhwah-ikhwah dan sahabat-sahabat yang tidak putus-putus memberi kekuatan dan semangat. Moga Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan antum.

" Doaku sentiasa mengirimu di sana Abah. Hanya doa sahaja yang yang dapat kutitipkan agar dirimu tenang di sana dan sentiasa bersama-bersama dengan para solihin, muttaqin dan muqarrabin . Amin. Ya Rabb"



"Dan Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” ( Al-Mulk: 2)


~~Al-Fatihah~~

03-11-1963----11-03-2013






































1 comment:

  1. Assalamualaikum hussin....

    takziah daripada akak..semoga adik sekeluarga tabah dan yang paling penting jangan tinggalkan doa untuk arwah ayah yer dik....

    ReplyDelete